MALAM NOSTALGIA ALUMNI SMKRMM (SEK MEN KEB RAJA MUDA MUSA)

Gambar hasil bidikan Abang baju merah belang kelabu dari Utusan Malaysia.
Sila cari benda tersembunyi mana dia Namy Yul?

Malam 25 December yang lalu, saya dan suami turut sama menyertai lebih kurang seribu hadirin lain dalam makan malam Alumni SMKRMM bersempena dengan ulangtahun bekas sekolah menengah kami yang ke 50 tahun. Alumni ini dilihat sangat - sangat mendapat sambutan dari kalangan batch 75-79 serta beberapa batch se-era dengannya yang menempah sehingga  4 ke 5 meja. Batch saya, cuma saya seorang, itu pun dek kerana saya ikut husband. Batch husband saya, 5 orang. Maka kami terpaksa bercampur semeja dengan batch 95-99 yang berwakilkan 3 orang dan satu lagi kerusi untuk isteri kawan suami saya. Maka genaplah 10 orang semeja.

Disini bermulanya Cinta. 
Sekolah menengah tempat saya menimba ilmu sehingga Tingkatan 3 ini, bukan setakat melakar warna - warna kejayaan para pelajarnya, tapi ia juga menjadi tempat bertuah sebahagian daripada kami berjumpa pasangan sehidup semati kami.


Herman Tino, ikhlas bukan paksaan. Membantu dalam usaha memungut sumbangan dari hadirin yang hadir. Sebelumnya, alumni berjaya memungut dana berjumlah RM3.4 juta untuk pembinaan dewan tertutup yang baru dari Yayasan Rafulin Berhad . Yayasan Rafulin sebelumnya telah membina 2 buah dewan sekolah rendah yang lain di sekitar Bestari Jaya. Semoga Allah panjangkan usia, permudahkan urusan dan murahkan lagi rezeki Ketua Pegawai Eksekutif Lebuh Raya Latar (K Lumpur -K Selangor), yang juga merupakan bekas pelajar SMKRMM yang telah banyak menabur jasa dalam pembangunan sekolah disekitar Batang Berjuntai ini.

Inilah group dibelakang meja saya. Kami group yang malap pada malam itu. Hanya 2  orang sahaja daripada kami yang di kiri pentas menang cabutan bertuah yang menawar 150 hadiah secara keseluruhannya. Yang lain dimonopoli oleh meja - meja dikiri dan tengah dewan (ni mesti kes tukang tarik nombor tak gaul ni). Namun Abang berbaju Melayu Merah ini menang kategori pilihan, lelaki menawan 40an. Ada pelbagai kategori pilihan yang lain, namun yang paling saya seronok, bila ada seorang abang tu, datang dengan nametag dan lencana sekolah tahun 1983 lagi. Maka dia menang hadiah taat setia ke apa, saya pun lupa.

Maka saya simpulkan, untuk menarik perhatian pada malam alumni sebegini, maka datanglah semula dengan pakaian sekolah. Tak payahlah tempah baju lip lap lip lap bagai..bila semua orang pun berlip lap lip lap, maka juri pun berpinar matanya nak menilai. Maka siapa yang nampak cool and legendlah yang akan dapat full attention.

Ok...sampai jumpa lagi!

TUTUP BUKU LAMA.


1646 halaman muka surat telah saya tulis. Andai panjangnya perjalanan kerjaya saya bersama Jessie dan Datuk Zain dibukukan, empat tahun setengah itu mengandungi pelbagai warna. Oren jingga kelabu kuning unggu dan merah jambu. Ada warna yang saya suka ada warna yang tidak. Namun satu perkara yang saya takkan lupa, satu perkara yang saya harus terima kasih seumur hidup adalah bahawa pengalaman kerja yang saya kutip bersama mereka amat berharga untuk saya guna pakai dalam mencapai masa depan yang lebih cerah. 

Namun cukuplah, cukuplah dengan apa yang saya dapat dengan apa yang dibalas kepada saya. Maka antara saya dan mereka, kami sudah tidak berhutang apa - apa. Atas dasar perikemanusiaan, maka saya letak surat seminggu. Saya harap itu sudah cukup banyak membantu. Saya sedih tinggalkan kawan - kawan, kawan - kawan yang baik dengan saya, kawan yang mungkin ingin lari, tapi tiada tempat ingin pergi. Hanya doa yang saya titipkan, agar perjalanan kamu semua di permudahkan Tuhan.

Maka secara rasminya, tanpa rehat, esoknya saya mula menolak pen semula, menekan keybord dan menekan kalkulator seperti biasa di tempat baru. Saya kembali mencoret, mencoret sebuah kisah baru, kisah yang saya tidak tahu berapa muka surat pula tebalnya. Namun introduction dua harinya penuh warna merah jambu muda. Maka secara tidak rasminya, saya mengandaikan bahawa diri saya telah menyambut Tahun Baru dua minggu lebih awal dari seluruh dunia menyambutnya.

Saya tidak akan toleh ke belakang lagi.
Saya tidak mahu warna - warna pelik tahun 2015 melarat ke 2016. 
Boleh ke? Hmm..suka hatikanlah. Inikan cerita saya.

EMAK


Emak.

Emak yang banyak berkorban. Yang menghabiskan seluruh usia mudanya membanting tulang memerah keringat demi anak tunggalnya yang entahkan berguna atau tidak di masa hadapan. Walau apa pun cabaran dan halangan terpaksa di tempuh, Emak pedulikan kata cerca dan nista masyarakat sekeliling. Tak perlu bercerita tentang perit jerihnya membesarkan anak seorang diri kepada orang sekeliling, kerana hakikatnya mereka tak perlu tahu & takkan mahu tahu. Maka hanya kepada Allah Emak berserah!

Sungguh besar pengorbanan Emak. Memiliki prinsip & pandangan yang bukan mudah digoyah sesiapa. Katanya Hitam, Maka hitamlah ia, takkan sekali berubah putih. Meski sayalah permata hatinya seorang, namun bukan semua kehendak & keinginan saya dipenuhi. Kadang - kadang, saya tidak faham dengan Emak. Sungguh tak faham.

Tapi hari ini, usia remaja sudah lama saya tinggalkan. Kini adalah saat dimana hujung mata saya sudah menampakkan garis- garis halus penuaan. Saya rasa saya makin faham Emak. Semakin faham pemikirannya. Semakin boleh jangka tindak tanduknya. Saya tidak rasa saya memahami Emak sepenuhnya. Namun saya pasti, saya kini amat menyerupai Emak. 

Saya sayang Emak sampai bila - bila. Semoga Emak diberikan kesihatan yang baik & dipanjangkan usia. Semoga kita mempunyai cukup waktu untuk dihabiskan bersama dengan gembira. Saya ingin terus sentiasa ingin melihat senyuman Emak yang semanis gula & seharum bunga. Selamat Hari Lahir Emak.